Pembangunan ladang bukan punca tragedi banjir secara signifikan- MBI

Kejadian kepala air yang mengakibatkan banjir kilat mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan ratusan penduduk

ALOR SETAR- Pembangunan ladang melibatkan hanya lapan peratus daripada keseluruhan kawasan bukan faktor utama kejadian kepala air Gunung Inas.

Menurut kenyataan Menteri Besar Incorporated (MBI), secara keseluruhannya pembangunan ladang daripada keseluruhan kawasan terimaan hujan tidak menyumbang secara signifikan kepada kejadian banjir yang berlaku.

“Kejadian banjir ini berkemungkinan besar oleh hujan lebat yang turun untuk tempoh yang lama dan kemampuan sungai menampung kapasiti aliran air yang besar menjadi penyumbang berlakunya kejadian banjir,” kata MBI dalam satu kenyataan hari ini.

MBI berkata, tiada aktiviti pembukaan tanah dan penyediaan tapak bagi tujuan pembangunan ladang dalam kawasan tersebut bermula Disember 2020 sehingga kini.

“MBI Kedah dan syarikat usahasama telah mendapat kelulusan kawasan bagi Pembangunan Ladang Hutan di Kompt. 8 HS Gunung Inas seluas 1,074 hektar.

“Kawasan yang telah dibangunkan dengan penyediaan tapak adalah seluas 600 hektar. Secara keseluruhan, keluasan kawasan yang telah ditanam adalah 52 hektar,” katanya.

Menurutnya, keluasan kawasan Kompt. 7 dan Kompt. 8 yang melibatkan aliran air (kawasan terimaan hujan) ke Sungai Kupang adalah dalam anggaran keluasan 7,560 hektar.

“Pembangunan Projek Ladang MBI Kedah dan syarikat usahasama seluas 600 hektar adalah meliputi 8% daripada keseluruhan kawasan terimaan hujan berkenaan.

“Anggaran keluasan kawasan terimaan hujan dikira dari puncak tertinggi atau permatang dalam kawasan berkenaan dan aliran air dalam kawasan tersebut yang mengalir ke Sungai Kupang,” katanya.

Menurutnya, faktor hujan lebat yang turun untuk tempoh yang lama dan kejadian kepala air di kawasan Sungai Kupang telah menyebabkan kejadian banjir.

“Sungai di kawasan tersebut tidak dapat menampung isipadu aliran air yang berganda dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Kejadian kepala air Gunung Inas pada kelmarin telah menjejaskan 12 buah kampung membabitkan 627 penduduk dan memusnahkan banyak infrastruktur.

Seramai tiga orang penduduk terkorban dalam kejadian tragis itu.

 

RENTAS7 / FOTO: UPDA

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.