Exco tuntut anak muda pentingkan ilmu, patuh agama

SUNGAI PETANI-Anak-anak muda perlu diberi penekanan menuntut ilmu kerana mereka adalah waris kepimpinan masa depan negara.

Exco Pendidikan Negeri Kedah, Dr Salmee Said berkata, selain itu, ciri-ciri perlu dimiliki anak muda adalah patuh pada ajaran agama kerana ia membentuk keperibadian lebih sempurna dan mulia.

“Pesanan Saidina Ali R.A “jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah pemuda-pemudanya pada hari ini.

“Ini menunjukkan bahawa sesebuah negara terletak ditangan remaja masa kini yang merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang,”katanya.

Salmee (tengah) depan, Ismail lima kanan dari depan bersama semua pegawai terlibat hadir dalam program berkenaan

Beliau berkata, slogan kata “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” juga memberi mesej jelas bahawa anak muda bakal memacu pentadbiran negara pada masa hadapan.

Seramai 260 pelajar mengikuti program berkenaan

Terdahulu, Salmee merasmikan Penutupan Kem Kepimpinan Dan Jati Diri Negeri Kedah bertempat di Harmony Adventure Camp Teluk Nipah, Sungai Petani, semalam.

Program 15 hingga 17 Oktober melibatkan lapan daerah dalam negeri ini dengan jumlah penyertaan seramai 260 orang peserta.

Mengulas program diadakan, Salmee berkata, beliau melihat penganjuran kem itu sebagai satu proses memperkasa kesedaran anak-anak tentang kepentingan menuntut ilmu.

Salmee menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta wanita

“Di samping itu, ia menampilkan sikap positif terhadap persekitaran mereka sebagai persediaan membentuk ciri-ciri pemimpin masa depan.

“Tahniah saya ucapkan kepada Majlis Guru Kaunseling Negeri Kedah kerana berjaya melaksanakan program untuk anak-anak muda harapan negara,”katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri ( JPN ) Kedah, Ismail Othman,Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Negeri Kedah, Ahmad Tarmizi Ramli, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Yan,Pegawai-pegawai JPN Negeri Kedah serta Pengarah Harmony Adventure Camp Teluk Nipah En. Zulkifli Ahmad.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.