Dari Kosovo, Liridon kini sah bergelar rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR– Pemain tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi sah memperolehi Kewarganegaran Malaysia sekaligus bakal menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pemain itu telah menerima MyKad dan hanya perlu menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk sertai skuad negara.

“FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, (3 Februari lalu).

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan,”katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Liridon dua kiri hanya perlu menunggu kelulusan akhir FIFA untuk sertai Harimau Malaya

Beliau berkata, kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh akan memperkasakan lagi pasukan.

“Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

“FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.