Dapat jalan baru selepas 20 tahun

Penantian penduduk berakhir hanya selepas 20 tahun menunggu

KUALA KETIL– Hasrat penduduk Kampung Kuala Cahaya dan Kampung Morang untuk menggunakan jalan berturap tar akhirnya tercapai setelah 20 tahun penantian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, jalan Kampung Morang menghala Kampung Kuala Cahaya akhirnya siap sepenuhnya untuk digunakan.

Menurutnya, penduduk kampung mendakwa jalan berkenaan tidak diperbaiki sejak 20 tahun lalu.

“Tu dia, Alhamdulillah jalan Kampung Morang ke Kampung Kuala Cahaya pulak dah siap. Pengalaman situ masa saya pi ambik ukuran jalan bersama penghulu, ada sorang pakcik tegur, katanya dah 20 tahun jalan ni teruk tak dibaiki.

“Saya cakap Insha Allah pakcik lepas ni elok la kot. Dia cakap lagi, dulu pun camtu la juga, ramai dah mai tengok pastu balik, mai tengok pastu balik. Saya pun tak kata pa,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya semalam.

Mansor turut memberikan perhatian pada jalan digunakan sebuah keluarga setelah menerima aduan JPKK Kampung Binjul Dalam

Beliau berkata, individu tersebut tentu teruja setelah melihat jalan berkenaan kini telah diselenggara.

“Terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Felda Teloi Kanan yang bantu permudahkan, dan juga Penghulu Mukim Teloi Kanan,” katanya.

Dalam pada itu, Mansor berkata, sebuah jalan yang agak teruk bagi kegunaan sebuah rumah di Kampung Tulang Bok telah diselenggara.

Menurutnya, tindakan segera diambil setelah menerima aduan daripada JPKK Kampung Binjul Dalam.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.