Bajet : “Untuk Kedah, saya berterima kasih”- Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR-Menteri Besar Kedah, berterima kasih kepada Menteri Kewangan dan kerajaan Persekutuan kerana memberikan fokus kepada Kedah dalam Belanjawan 2021.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bajet dibentangkan mencakupi semua perkara yang diperlukan rakyat.

Menurutnya, ia menyediakan banyak insentif untuk memaju dan mengembangkan ekonomi Malaysia.

Katanya, rakyat B40, wanita, golongan miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan yang terkesan dengan COVID-19 tidak terlepas daripada bantuan kerajaan.

“Untuk Kedah, saya berterima kasih kerana Belanjawan 2021 memberi kesan langsung kepada Kedah dalam belanja pembangunan dan mengurus.

“Antaranya pruntukan untuk projek Loji Rawatan Air (LRA), jalan raya dari Grik ke Kulim, infrastruktur zon pembangunan khas di Yan dan Baling. Ini memberi faedah langsung kepada Kedah.

“Peruntukan untuk senggara kawasan industri, jalan kampung, akan bantu Kedah secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengumuman peningkatan insentif pengeluaran getah (IPG) sekali ganda, insentif kepada nelayan dan petani yang akan banyak memberi manfaat kepada golongan sasar di Kedah.

“Elaun Imam, Siak, Bilal dan guru takmir turut dinaikkan,”katanya.

Sanusi berkata, peruntukan untuk membangunkan Loji Rawatan Air baru di Kubang Pasu untuk penduduk dan kawasan industri baru sangat-sangat dihargai.

Beliau mengharapkan Kedah akan berada dalam senarai utama projek pembangunan infra luar bandar yang mendapat dana besar sebanyak RM2.7 bilion.

“Bagi projek naik taraf jalan luar bandar yang akan didanai sebanyak RM1.32 bilion, saya amat mengharapkan untuk jalan-jalan ban di kawasan MADA, perkampungan KEDA dan kawasan Felda turut diberikan perhatian.

“Ini kerana kawasan-kawasan tersebut juga adalah termasuk kawasan luar bandar. Saya yakin rakyat berpuas hati dengan semua skim bantuan yang diumumkan.

“Pemberian khas kepada frontliners yang bertungkus lumus menghadapi Covid-19 adalah langkah terpuji Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Rentas7.com/ Foto:Upda

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.