Dakwa hotel dirobohkan tanpa notis, pampasan

SUNGAI PETANI– Seorang lelaki mendakwa hotel miliknya di Pulau Tiga, Sungai Layar yang dirobohkan pihak berkuasa semalam, dibuat tanpa sebarang notis.

Pemilik hotel, Derbar Raja Husaini Shah Derbar Raja Yaacob,54, mendakwa, beliau juga hanya tahu hotel tersebut akan dirobohkan sehari sebelumnya.

“Notis tak bagi, perintah tak ada, semua tak Ada, kita nak buat bagaimana?…(mereka) kerajaan.

“Saya tak sempat keluarkan barang-barang dalam hotel itu. Tak apalah, saya reda. Rezeki ALLAH itu luas,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Anggota penguatkuasa berkawal di kawasan sekitar hotel dirobohkan

Menurutnya, beliau juga tidak menerima pampasan walaupun hotel itu beroperasi secara sah sejak 15 tahun yang lalu.

“Bangunan hotel itu diluluskan Majlis Pembandaran Sungai Petani ( MPSP), pihak yang bertanggungjawab mengutip cukai pintu tahunan.

Hotel ini dikatakan beroperasi secara sah

“Hotel itu dibina di atas tanah tidak bergeran, bagaimanapun tanah itu diusahakan oleh datuk nenek saya lebih kurang 120 tahun yang lalu,”katanya.

Beliau berkata, permohon untuk mendapat geran bagi tanah hotel seluas 1.5 ekar itu pernah dibuat sebelum ini namun tidak berjaya.

Katanya, difahamkan kawasan hotel dirobohkan akan dibina pusat rekreasi manakala kawasan bersebelahannya akan dibangunkan perumahan oleh pemaju.

Sementara itu Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kerajaan negeri disaran membayar pampasan setimpal kepada pemilik hotel tersebut.

Mustaffa

“PUTRA negeri kedah menyarankan pihak kerajaan membayar pampasan selepas merobohkan hotel berkenaan.

“Kita bukan hidup dalam negara luar. Sekiranya tanah itu diambil demi pembangunan sekalipun, biarlah ada pampasan setimpal dibayar,”katanya.

Mustaffa berkata, tindakan diambil pihak terbabit disifatkan sebagai tidak berhati perut dan tidak mempunyai keadilan.

“Kenapa kita bertindak kejam kepada rakyat dan bangsa kita sendiri?

“Tanah yang asalnya berpaya dan lecak telah diusahakan dan dibangunkan oleh orang Melayu persaorangan. Akhirnya dirobohkan dan dihancurkan, Melayu merempat di dalam negaranya,”katanya.

Artikel berkaitan:http://rentas7.com/pemilik-hotel-kena-roboh-dah-diberikan-notis/

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.