Konflik hantui mahasiswa Patani

PATANI– Impian masyarakat Islam di selatan Thailand untuk mengecapi keamanan dan masa depan lebih baik umpama tertutup apabila konflik berdarah di sana masih belum tanda-tanda akan berakhir.

Konflik yang dilaporkan telah meragut lebih 7000 nyawa di sana bermula apabila Thailand bertindak di luar batas-batas kemanusian ke atas umat Islam pada  24 Oktober 2004.

Pembunuhan beratus-ratus umat Islam dalam satu kejadian di Takbai pada bulan Ramadan dilihat punca utama mengapa tiga wilayah selatan Thailand iaitu Patani, Yala dan Narathiwat dihimpit dengan krisis keamanan hingga sekarang.

Biarpun masih belum ada jawapan jelas dari kerajaan Thailand berkaitan tindakannya mengorbankan ratusan nyawa pada waktu itu, namun pembunuhan tersebut tidak wajar dilakukan atas apa jua alasan sekalipun.

Sebelum itu lagi, kezaliman terhadap umat Islam Melayu Patani secara terangan-terangan berlaku apabila sebilangan besar jemaah di Masjid Kerisik dibunuh pada 28 April 2014 dalam satu insiden serangan oleh pasukan tentera kerajaan.

Apa yang pasti, pergolakan di wilayah yang disifatkan paling mundur dalam peta Thailand itu  menyebabkan struktur politik, ekonomi  dan pendidikan bagi penduduk di sana khususnya terjejas dengan begitu teruk.

Lebih menyedihkan, golongan pelajar yang diharap mampu memulihkan kembali masa depan masyarakat di sana turut menjadi mangsa kezaliman pihak tentera dengan ada di antara mereka yang terbunuh dan ditahan oleh pihak kerajaan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan berhaluan kiri.

Beberapa kejadian beberapa tahun 2015 menyaksikan mahasiswa di selatan Thailand diberi layanan buruk oleh pihak pemerintah tentera.

Antaranya ialah pembunuhan dua mahasiswa dari selatan Thailand dalam satu siri pengepungan oleh pihak keselamatan kerajaan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

Selain itu, penahanan 20 orang mahasiswa dari Universiti Narathiwat Rachanakrin oleh pihak berkuasa negara itu merumitkan lagi proses keamanan di tiga wilayah selatan milik umat Islam di sana.

Bertambah buruk, masa depan yang sepatutnya dimiliki oleh kelulusan pelajar beragama Islam di setiap wilayah bergolak ini juga seakan dinafikan apabila hak mereka untuk menjawat pekerjaan dalam sektor awam dinafikan dengan diskriminasi.

Bekas penuntut Prince of Songkhla Universiti, Siti Fatimoh Ma’seng ,25,berkata, krisis keamanan yang berlaku di selatan Thailand diburukan lagi dengan kesukaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor kerajaan.

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan pihak pengurusan pekerjaan dalam bidang kerajaan selalunya dimonopoli oleh masyarakat bukan beragama Islam.

“Contohnya jika terdapat dua orang berlainan agama iaitu seorang Muslim dan seorang lagi bukan memohon untuk mendapatkan pekerjaan dengan kelulusan dan tahap yang sama, peluang selalunya kepada non Muslim.

“Ini kerana mereka akan lebih memilih pekerja yang seagamanya kerana bagi mereka tindakan itu untuk memudahkan urusan kerja.

“Pelajar bukan Islam juga selalunya diberikan kursus dan biasiswa untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, peluang mereka lebih luas,”katanya.

Bekas penuntut Taksin Chinnawat Universiti, Asma Naksewee,25,berkata, lambakan graduan dari universiti berbanding peluang pekerjaan yang ditawarkan kerajaan menyebabkan pengangguran semakin bertambah.

“Untuk mencari kerja di sini memang susah, ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

“Saya pernah menduduki peperiksaan untuk memohon pekerjaan dengan 1 : 200 (satu nisbah 200).

“Itu maknanya jumlah pemohon pekerjaan adalah seramai 200 orang untuk memhon satu jawatan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan, jika tiada persediaan yang bagus, peluang untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis,”katanya.

Selain peluang pekerjaan yang terhad, pelajar muslim di selatan Thailand juga berdepan dengan ancaman keselamatan ketika berlakunya sebarang kekecohan.

Bekas penuntut Prince Of Songkhla, Phuvicha Samoh,25, berkata, cabaran bagi seorang pelajar di selatah Thailand adalah dituduh sebagai suspek keganasan oleh pasukan keselamatan.

Menurutnya, gerak geri pelajar muslim akan sentiasa diperhatikan oleh pihak tentera setiap kali berlakunya kekecohan atau keganasan.

“Mereka akan ditahan namun ianya tidak sampai meragut nyawa seseorang pelajar tersebut, bagaimanapun tindakan menahan mahasiswa atas setiap tuduhan akan disusuli dengan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan pelajar,”katanya.

Konflik menjejaskan masa depan mahasiwa Patani

Sementara itu,penuntut Suranaree University of Tekchnology, Nakhon Ratchhasima, Asmahan Abdul Wahab,19, berkata, dia mengharapkan agar suatu hari nanti kemanan di selatan Thailand kembali pulih.

Asmahan

Bagaimanapun katanya,undang-undang di selatan Thailand perlu diperbaiki terlebih dahulu seandainya mahu melihat keamanan di tiga wilayah bergolak.

“Penindasan,keganasan dan pergaduhan perlu dihentikan,saya harap masa depan masyarakat dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang,”katanya.

tamat

*(Artikel asal ini ditulis penulis pada 20I6)

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.