“Kedah catat 1216 kes, semua perlu bertanggungjawab”

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Peningkatan kes positif COVID-19 mendadak di Kedah perlu ditangani segera dengan tanggungjawab bersama di antara rakyat dengan pemimpin.

Pengerusi, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Mustaffa Idrus berkata, kes harian sebanyak 1216 kes dicatatkan Kedah pada hari ini sangat mendukacitakan.

“Semua pihak perlu bertanggungjawab sekarang, baik kamu pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang mahupun rakyat.

“Bila sudah namanya pemimpin, kamu perlu tunjukkan contoh tauladan yang baik kepada rakyat. Jangan langgar prosedur operasi standard (SOP) tapi minta rakyat patuh. Bagaimana rakyat nak patuh?

“Menuding jari buat waktu ini tidak akan menurunkan kes. Maka jalan penyelesaiannya, semua perlu bertanggungjawab dengan tidak ‘merayau’ merata tanpa sebab,”katanya hari ini.

Tuntut beliau, rakyat wajib mentaati  perintah Ulul Amri membasmi wabak kerana ia merupakan tuntutan dalam agama.

“Memang ada pemimpin yang langgar SOP, tapi bukanlah semua. Tak bolehlah kita pukul rata.

“Jika rakyat pun ambil sikap mudah tak patuh, keadaan COVID-19 di negara ini akan lebih teruk,”katanya.

Beliau berkata, siapa sahaja ditemui ketika ini perlu dianggap pembawa COVID-19.

“Semua yang kita jumpa atau yang datang bertemu kita perlu dianggap pembawa COVID-19.

“Secara tidak langsung, kita akan lebih berhati-hati antara satu sama lain,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA berharap usaha kerajaan negeri mengawal wabak dengan meluaskan suntikan vaksin di negeri ini akan berhasil.

“Kita hanya berikhtiar, Allah yang tentukan. Jika suntik vaksin pun tak selesaikan masalah, mungkin ada perkara lain perlu kerajaan perhatikan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.