SABAH– Cubaan menyeludup 6,500 liter minyak petrol oleh dua individu di perairan Semporna digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( Maritim), semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim, Norrimi Hassan berkata, dua individu berusia lingkungan 31 hingga 35 tahun itu ditahan selepas bot jongkong dinaiki mereka bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.00 pagi.
Menurutnya, minyak yang diisi dalam 260 tong itu dianggarkan bernilai RM68,000.
“Namun begitu, juragan bot jongkong bertindak melarikan diri apabila ternampak bot peronda Maritim. Akhirnya bot tersebut berhenti.
“Hasil siasatan juragan bot dan awak-awak berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah. Mereka ditahan untuk tindakan selanjutnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain bot jongkong dan 260 tong berisi minyak petrol, Maritim turut menemui dua buah enjin sangkut.
“Kesemua barang rampasan telah ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya.
Rentas7.com
Leave a Reply