MOTAC gerakan pelan pemulihan sektor pelancongan domestik

Dato’ Sri Nancy Shukri

PUTRAJAYA-Kerajaan dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Seiring dengan langkah itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini mengumumkan perincian pelan pemulihan pelancongan bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui sektor pelancongan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata bahawa MOTAC melalui agensinya, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) akan menggerakkan pelan pemulihan pelancongan tersebut melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara.

“Tiga teras utama pelan pemulihan yang telah digariskan di bawah strategi pemulihan tersebut dijangka akan menyemarakkan semula pelancongan domestik.

“Pertama, mengembalikan keyakinan untuk melancong, kedua menyemarakkan pelancongan domestik dan ketiga memaksimumkan sumber sedia ada,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti program untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan.

Menurutnya, ia akan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri seperti syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA).

Beliau berkata, beberapa program yang diatur telah sedia untuk digerakkan.

“Pertama, kerjasama TM, MAH dan e-market platform untuk mempromosikan pakej-pakej penginapan bagi menggalakan pelancongan domestik dan membantu hotel-hotel di bandar yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19.

“Kedua, Tourism Malaysia akan menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasarana bagi menggalakkan pergerakan inter dan intra di kalangan pelancong domestik dan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Seterusnya, kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet(3 bintang ke bawah) yang terpilih dan aktif mengikut negeri dan keutamaan akan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan MOTAC melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’,”katanya.

Beliau berkata, kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ akan dibuat dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Firefly, Air Asia dan Malindo Air bagi meningkatkan kesalinghubungan ke lokasi percutian di dalam negara untuk merangsang pelancongan domestik.

Selain itu katanya, diskaun pembelian produk K-kraf di outlet karyaneka untuk menggalakkan penjualan kraftangan Malaysia akan diperkenalkan.

“Mekanisme yang dicadangkan merupakan pemberian baucar, diskaun atau rebat tunai yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital di kalangan rakyat melalui pembelian atau tempahan dalam talian, penggunaan aplikasi mobil dan penebusan e-baucar tunai,”katanya.

Dalam pada itu, Nancy Shukri berkata, MOTAC menyambut baik keputusan keputusan kerajaan yang telah membenarkan gelembung perjalanan domestik antara zon-zon hijau di Malaysia.

“Oleh itu, kami berharap rakyat akan mengambil peluang untuk melancong dengan selamat dan sentiasa mematuhi SOP di dalam norma baharu sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau juga menyeru pemain industri pelancongan supaya sentiasa menampilkan tawaran-tawaran pakej menarik di samping menjaga SOP dengan norma baharu bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang besar ekonomi negara.

“Program serta inisiatif yang telah dirangka diharap dapat membantu menaikkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama dari setiap pihak industri pelancongan tempatan ke arah pemulihan dan kemajuan ekonomi negara,”katanya.

Rentas7.com/ MOTAC

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.