China beli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR– Eksport minyak sawit Malaysia terus meningkat apabila China bersetuju membeli 1.7 juta tan minyak sawit negara dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persetujuan itu dinyatakan Menteri Luar China TYT Wang Yi dalam satu pertemuan.

“Pertemuan empat mata saya dan TYT Wang Yi hari ini cukup bermakna – China setuju membeli minyak sawit Malaysia dan produknya sebanyak 1.7 juta tan hingga tahun 2023.

“Saya yakin, ini bukan sahaja membawa kepentingan kepada ekonomi dan Felda, tetapi lebih utama ia bakal memberi manfaat kepada peneroka di seluruh negara. InsyaAllah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan terkini itu turut membuktikan hubungan Malaysia-China semakin erat.

“TYT Wang Yi antara rakan sejawat terawal hubungi saya pada hari pertama saya di Wisma Putra Mac lalu.

China juga antara penyumbang bantuan COVID19 terbesar kepada Malaysia setakat ini. Ini buktinya hubungan Malaysia-China semakin baik dalam 7 bulan ini.

“Saya pernah sebut Ogos lalu, Wisma Putra akan manfaatkan peluang ini untuk tingkatkan eksport produk kelapa sawit negara kita ke China,”katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Wang Yi mengadakan pertemuan di Wisma Putra.

Rentas7.com/ Foto: Bisnis.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.