KLUANG -Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kluang telah menerima aduan mengenai pencemaran air Sungai Sembrong Kiri yang menyebabkan air bertukar warna menjadi kehitaman pada kelmarin.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencemaran tersebut turut mengakibatkan penutupan loji Semberong Timur dan menjadi punca kepada gangguan bekalan air kepada penduduk persekitaran selama beberapa jam.
Menurutnya, pada masa itu loji telah beroperasi sepenuhnya.
“Siasatan lanjut mendapati bahawa benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit telah pecah dan JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan arahan supaya operasi kilang dihentikan serta merta,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kilang kelapa sawit tersebut telah dikenakan tindakan gantung operasi selama 3 bulan dari tarikh 14 Oktober 2020 hingga 14 Januari 2021.
Menurutnya, ia disebabkan kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya terutamanya kegagalan untuk memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.
“JAS Negeri Johor juga telah mengeluarkan Notis Arahan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan air dari kolam tadahan dapat dikawal daripada terus melimpah ke Sungai Sembrong Kiri.
“Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan,”katanya.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, KASA merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian tersebut.
Sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Rentas7.com
Leave a Reply