MOSTI , IIASA jalin kerjasama menjayakan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara

VIENNA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempelawa Institut Antarabangsa untuk Sistem Analisis Gunaan (IIASA) untuk menjalin kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi menjayakan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, IIASA mempunyai kepakaran dalam analisis sistem bagi pelbagai bidang disiplin terutamanya yang berkaitan dengan sains alam sekitar.

“Justeru, MOSTI ingin mempelawa IIASA untuk meneroka platform kerjasama dengan ASM dengan menyumbang pengetahuan mereka dalam bantuan teknikal untuk memperkukuh PTKPN yang lebih bersepadu menjelang akhir tahun 2023,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan di IIASA, Laxenburg, Austria semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah IIASA, Dr. Albert van Jaarsveld.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 8 April 2022 di Mesyuarat
Majlis Sains Negara telah mengumumkan agar MOSTI menerusi ASM untuk
menggubal PTKPN.

ASM ketika ini telah melaksanakan beberapa pertemuan dengan pemegang taruh berkaitan dalam membincangkan isu berkenaan secara holistik yang dipacu sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

Tambah Dato’ Sri Dr. Adham Baba, PTPKN antaranya akan memberi tumpuan
kepada dua perkara iaitu pembangunan sistem pengawasan, pemantauan dan penjejakan impak (STIE Trend Watch) untuk kesihatan planet sebagai pemboleh untuk
pelaksanaan PTKPN.

“Kedua, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kawasan
zoonosis ke arah pembangunan pangkalan data nasional untuk genomik alam sekitar bagi mengawal dan mencegah penyakit zoonosis secara holistik melalui Institut Genom & Vaksin Malaysia (MGVI), ASM dan agensi berkaitan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.