Wang tunai RM19,000 nanti pemenang Kuiz Asean 2020 Kebangsaan

PUTRAJAYA: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) kini sedang menganjurkan Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan bermula pada 1 hingga 31 Oktober 2020 yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM19,000.00.

Pertandingan yang dilaksanakan secara dalam talian ini melibatkan dua (2) kategori utama iaitu Kategori Murid Sekolah Menengah Kerajaan / Swasta berumur 15 hingga 17 tahun dan Kategori Terbuka Warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun.

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah utama seperti berikut:

i. Johan – RM 2,500.00, trofi dan sijil
ii. Naib Johan – RM 1,500.00 trofi dan sijil
iii. Ketiga – RM 1,000.00 trofi dan sijil
iv. Keempat & Kelima – RM 750.00 seorang & sijil
v. Sagu hati – RM 300.00 seorang & sijil

Pertandingan ini merupakan program dwi-tahunan di bawah kalendar ASEAN-COCI (Committee of Culture and Information) dan dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN bagi memilih tiga (3) peserta terbaik
ke peringkat ASEAN Quiz Regional Level.

Pada tahun ini Singapura telah
dipilih sebagai tuan rumah di peringkat Regional Level yang akan diadakan secara maya bermula 16 hingga 17 Disember 2020.

Semenjak 2002, program ini telah memperlihatkan kolaborasi serta
kerjasama erat antara JaPen, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Luar Negeri (KLN).

Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan ini adalah bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran berkenaan hal ehwal ASEAN dalam kalangan para peserta.

Selain itu, pertandingan ini juga dapat meningkatkan minat membaca serta menggalakkan para peserta mendapatkan maklumat dan informasi lebih lanjut mengenai sesebuah negara anggota ASEAN terutamanya berkaitan aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.

Orang ramai digalakkan menyertai
Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan dengan melayari Laman Sesawang Jabatan Penerangan Malaysia www.penerangan.gov.my atau terus ke pautan:
https://kuizasean.penerangan.gov.my

Rentas7/ JaPen

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.