Benteng Malaysia bolos 3 -0

Pemain negara bersaing dengan pemain Thailand untuk mendapatkan bola

KUALA LUMPUR- Benteng Malaysia akhirnya roboh dengan tiga gol Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Thammasat Thailand sebentar tadi untuk keputusan agregat 3-1.

Thailand yang enggan kecewa lagi selepas kekalahan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil mengasak kubu Harimau Malaya seawal minit pertama permainan.

Skuad Kim Pan-gon hanya membiarkan Thailand melakukan serangan bertali arus dengan bertahan dan mengharapkan serangan balas pantas.

Namun teknik itu memakan diri apabila Teraasil Dangsa berjaya menanduk masuk hantaran rakan sepasukan untuk kedudukan 1-0.

Di Separuh masa kedua Thailand terus mengganas dengan tidak banyak memberikan ruang kepada pemain Malaysia bergerak dalam kawasan mereka.

Rembatan kencang Bordin Phala pada minit ke-55 meletakkan Thailand selesa dengan 2-0 sekali gus mengembirakan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Malaysia mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol dengan antaranya menerusi Faisal Halim namun percubaannya pada minit ke-59 terlalu tinggi.

Adisak Kraisorn tidak melepaskan peluang mencetak nama selaku penjaring gol apabila tampanan Syihan Hazmi yang muntah mudah ditolak masuk untuk keputusan muktamad 3-0.

Thailand mara dengan agregat 3-1 akan menentang musuh tradisi mereka Vietnam yang menewaskan Indonesia 2-0 secara agregat.

RENTAS7/ FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.