Lega apabila murid berkeperluan khas dapat sumbangan

BALING– Seramai 60 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Siong menerima sumbangan baju sukan dan alat tulis daripada Yayasan Jacobs, baru-baru ini.

Sumbangan melalui program “Back To School” itu diadakan di SK Siong dengan melibatkan 20 orang murid berkeperluan Khas (MBK) dan 40 murid aliran perdana.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Siti Rosni Ahmad (gambar dua kiri) berkata, sumbangan diperolehi dalam bentuk tunai dan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan di koperasi sekolah.

“Wang sumbangan digunakan waris untuk membeli alat tulis dan baju sukan. Sumbangan berkenaan amat meringankan beban MBK kerana kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Pihak sekolah sering membuat program jalinan kasih ke setiap rumah MBK, kita dapati lebih kurang 98 peratus mereka daripada keluarga miskin,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Salah seorang murid menerima sumbangan daripada Yayasan Jacobs

Beliau berkata, sebagai guru pentadbir pendidikan khas, sudah pasti dirinya lega apabila melihat anak-anak MBK mendapat perhatian.

“Sekarang ini, murid-murid MBK amat perlukan sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Ini kerana elaun diberikan kementerian untuk  MBK tidak lagi melalui pihak sekolah tetapi terus kepada waris mereka. Berbanding wang elaun tersebut diuruskan pihak sekolah.  Jadi kita tidak lagi mempunyai dana untuk menguruskan keperluan mereka.

“Apabila adanya sumbangan seperti ini, pihak sekolah dapat mengatur program untuk kemenjadian mereka. Sekolah berharap ada lagi penyumbang-penyumbang luar membantu anak-anak syurga ini,”katanya.

Rosni berkata, dalam setahun, MBK akan menerima pembayaran elaaun daripada kementeriaan sebanyak dua kali.

“Mereka menerima elaun RM,800 setahun. Fasa pertama dibayar RM800 pada bulan Jun dan baki  pada November atau Disember ,”katanya

 

Rentas7.c0m

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.