KOTA BHARU- Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjangkakan Parlimen berkemungkinan dibubarkan pada Disember ini, sama ada pada awal atau pertengahan bulan, mahupun selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata jangkaan itu dibuat berpandukan kepada perkembangan landskap politik semasa negara.
Menurut Mohd Amar, sekiranya ramalan pembubaran tersebut menjadi kenyataan, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung pada penghujung Januari 2027, iaitu sebelum menjelangnya bulan Ramadan.
“Berdasarkan perkembangan politik semasa, jangkaan saya ialah Parlimen mungkin dibubarkan pada Disember 2026, sama ada pada awal atau pertengahan bulan, ataupun selepas pilihan raya di Sarawak.
“Sekiranya jangkaan ini tepat, pilihan raya umum berkemungkinan berlangsung pada penghujung Januari 2027, sebelum menjelang Ramadan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan jentera parti, beliau mengingatkan bahawa tempoh persediaan yang masih berbaki ketika ini adalah amat singkat sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.
“Jika demikian keadaannya, tempoh persediaan yang masih berbaki amat singkat. Dengan izin Allah SWT, saya menaruh harapan agar segala usaha ini akhirnya membawa kita ke Putrajaya,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply