Larangan guru leter murid disahkan palsu

Radzi berbual dengan murid sekolah ketika dalam lawatan di sebuah sekolah sebelum ini

KUALA LUMPUR-Larangan guru meleter murid yang tular di media sosial sejak semalam disahkan palsu oleh Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu seperti mana disiarkan sebuah portal yang menggunakan gambarnya.

“Saya kongsikan kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung laporan portal berita bertajuk “Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid”.

“Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang” dalam mana-mana dokumen rasmi KPM.

“Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
Mohon jasa baik sahabat semua kongsikan-kongsikan penjelasan ini,” katanya.

Dalam penjelasan itu, beliau turut memuat naik tata cara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM antaranya berkaitan kuasa guru merotan murid.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.