KUALA LUMPUR: Ketua pasukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools, mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas wajahnya tampil dalam poster rasmi terbaharu yang dilancarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersempena jendela perlawanan antarabangsa (International Break).
Perkembangan membanggakan itu turut dikongsikan oleh portal bola sepak tempatan, Harimau Malaya, yang memuat naik semula grafik berkenaan dengan menzahirkan rasa bangga melihat kelibat “kapten sejuk” negara berada sebaris dengan bintang-bintang ternama dunia.
Menerusi poster bertemakan “International Football Is Back” itu, pemain pertahanan kelahiran Kuching tersebut diletakkan bersama barisan pemain bintang antarabangsa terkemuka seperti Erling Haaland, Son Heung-min, Harry Kane, Luka Modrić, Lamine Yamal, Kevin De Bruyne, Viktor Gyökeres, Endrick, serta legenda Perancis, Zinedine Zidane.
Poster yang diterbitkan di platform rasmi FIFA World Cup tersebut dilancarkan bagi mempromosikan kehangatan aksi perlawanan antarabangsa terakhir bagi kalendar tahun 2026.
Penampilan Dion Cools dalam bahan promosi rasmi badan induk bola sepak dunia itu secara tidak langsung membuktikan pengiktirafan berterusan terhadap skuad kebangsaan Malaysia di pentas antarabangsa, sekali gus menyuntik semangat tambahan buat penyokong tanah air menjelang aksi Harimau Malaya seterusnya.
RENTAS7
Sumber: Harimau Malaya / FIFA World Cup








Leave a Reply