KUALA LUMPUR –Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM), Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menggesa kerajaan membuat larangan menyeluruh terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia bagi melindungi generasi muda daripada ancaman ketagihan nikotin dan kesan buruk terhadap kesihatan.
Beliau berkata, perkembangan penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah semakin membimbangkan kerana tabiat tersebut boleh menjejaskan disiplin, tumpuan pembelajaran serta pembentukan sahsiah mereka.
“Jika tidak dibendung dengan tindakan tegas, negara berisiko berhadapan masalah sosial dan kesihatan yang lebih serius pada masa hadapan,”katanya.
Menurutnya, sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak menimba ilmu, membina cita-cita dan mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa depan, bukannya ruang yang menyaksikan mereka terjebak dengan tabiat menghisap vape.
” Pengaruh rakan sebaya, pemasaran produk dan akses kepada penjualan vape perlu ditangani secara menyeluruh.
“Apalah ertinya kita membina sekolah, menyediakan kemudahan pendidikan dan melaburkan wang yang besar untuk melahirkan generasi berilmu jika anak-anak kita pada masa yang sama terdedah kepada budaya ketagihan yang boleh merosakkan kesihatan dan masa depan mereka?” katanya.
Kebimbangan itu turut disokong oleh data kesihatan negara. Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 yang dilaporkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Jun 2024, penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022. Angka itu menunjukkan isu vape dalam kalangan remaja bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan.
Mustaffa berkata, kerajaan perlu menilai semula keberkesanan pendekatan kawal selia sedia ada dan mempertimbangkan larangan yang lebih menyeluruh, di samping memperketat penguatkuasaan terhadap penjualan kepada golongan bawah umur.
Beliau berkata, tindakan terhadap penjual yang menyasarkan pelajar juga perlu dipertingkatkan supaya kepentingan komersial tidak mengatasi keselamatan dan masa depan anak-anak.
Beliau turut menggesa kementerian berkaitan, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat supaya berganding bahu membanteras penyebaran vape dalam kalangan pelajar.
“Pendidikan mengenai bahaya nikotin perlu diperkukuh, manakala saluran aduan dan tindakan penguatkuasaan hendaklah dipermudah agar kegiatan penjualan kepada pelajar dapat ditangani dengan segera.
“Sebagai perbandingan, Thailand mengambil pendekatan undang-undang yang tegas terhadap rokok elektronik,”katanya
Menurut portal rasmi kerajaan Thailand, penjualan vape boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga 600,000 baht, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan mengimport vape, hukuman boleh mencecah penjara sehingga 10 tahun atau denda lima kali nilai barangan, atau kedua-duanya sekali, bergantung pada peruntukan undang-undang yang terpakai.
Portal sama turut menjelaskan bahawa pemilikan atau penerimaan barangan yang diimport secara tidak sah boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda empat kali nilai barangan, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan yang memenuhi peruntukan berkaitan.
Perincian ini menunjukkan bahawa penguatkuasaan Thailand bukan hanya tertumpu kepada penjual, malah meliputi kegiatan pengimportan dan pengendalian barangan yang melanggar undang-undang.
Mustaffa menegaskan bahawa isu vape perlu dilihat sebagai persoalan masa depan negara, bukan semata-mata pilihan gaya hidup individu atau peluang perniagaan.
” Jika anak-anak sekolah semakin terpengaruh dengan ketagihan sejak usia muda, negara berisiko menanggung kesan kesihatan, sosial dan ekonomi yang berpanjangan.
” Generasi yang sepatutnya menjadi tonggak pembangunan negara tidak boleh dibiarkan terdedah kepada ancaman yang boleh menjejaskan potensi mereka.
“Sehubungan itu, PAMM menggesa kerajaan supaya meneliti pengalaman negara lain, termasuk Thailand, dan mengambil langkah berani berasaskan bukti bagi melindungi generasi muda Malaysia,”katanya.
Menurutnya, masa depan anak-anak tidak boleh dikorbankan demi keuntungan industri.
“Jika ancaman ini tidak ditangani dengan serius hari ini, kita mungkin terpaksa membayar harga yang jauh lebih besar apabila generasi yang diharapkan menjadi pewaris negara terjejas kesihatan, pendidikan dan masa depan mereka,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply