Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Banggol Serdang meriah

Kehadiran kanak-kanak dalam program ini menyerikan lagi program

Laporan: Ilyas Salleh

KUALA KETIL– Sukaneka Maulidur Rasul 2026 berlangsung meriah di Surau Kampung Banggol Serdang hari ini, menghimpunkan kanak-kanak, muslimin dan muslimat dalam pelbagai acara yang mencetuskan keceriaan serta mengeratkan ukhuwah masyarakat.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kuala Ketil, YB Mejar Mansor Zakaria, selaku tetamu jemputan.

Acara bermula pada sebelah pagi dengan pertandingan mewarna dan cari kata bagi kanak-kanak mengikut kategori umur sebelum diteruskan pada sebelah petang dengan acara sukaneka.

Antara acara kanak-kanak yang dipertandingkan ialah membawa bola ping pong menggunakan sudu, pancing botol dengan aktiviti mengisi air serta bowling padang.

Golongan muslimat pula menyertai acara balut ketupat palas, pancing botol dan kupas buah epal, manakala peserta muslimin mengambil bahagian dalam bowling padang, memanah, tarik tali dan pancing botol.

Acara berpasangan “Makin Jauh Makin Sayang” turut menceriakan suasana apabila peserta berpasangan berdepan cabaran dalam suasana santai dan penuh gelak tawa.

Kaum ibu menganyam ketupat – salah satu acara program

Sukaneka yang berlangsung di perkarangan Surau Kampung Banggol Serdang itu bukan hanya menguji kemahiran dan ketangkasan peserta, malah menjadi medan pertemuan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.

Tidak lengkap Sukaneka Maulidur Rasul ini tanpa semangat gotong-royong penduduk. Sejak awal, warga kampung bersama-sama berganding bahu menyediakan juadah dan memasak untuk jamuan majlis.

 

 

Penduduk bergotong-royong memasakKemeriahan sepanjang program memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat setempat dalam menghidupkan Sukaneka Maulidur Rasul 2026, sambil memperkukuh hubungan silaturahim sesama penduduk.

 

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.