Terpaksa guna titi hampir runtuh

KUALA KETIL-Penduduk yang menetap di jalan sawit Kampung Banggol Serdang di sini, menggunakan titi rosak dan reput sebagai laluan utama sejak setahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, penduduk memohon pihak berwajib memperbaiki titi berkenaan kerana mereka sudah beberapa kali membaikinya namun ia tetap rosak sekiranya banjir.

Wakil penduduk, Ramli Idris berkata, titi telah rosak dan reput sejak setahun lalu itu digunakan oleh tiga buah keluarga dan menjadi laluan utama mereka untuk ke pekan, sekolah dan sebagainya.

“Titi itu dibuat secara gotong royong menggunakan batang pokok kelapa sawit dan kayu palet.

“Setiap kali banjir melanda kawasan ini, titi tersebut akan rosak dan reput,”katanya seperti dilaporkan.

Tambahnya, penduduk amat berharap pihak berwajib dapat membina titi lebih elok berbanding apa yang ada ketika ini.

Katanya, titi reput itu mengundang bahaya kepada warga emas, tambahan pula dia yang uzur perlu melalui titi berkenaan setiap bulan untuk ke klinik kesihatan di Felda Teloi Timur.

Penduduk, Hamidah Harun,58, titi berkenaan sering dilalui cucu-cucunya untuk ke sekolah dan dia amat bimbang dengan keselamatan mereka selagi ia tidak diperbaiki.

“Kami harap titi ini masalah ini dapat diberikan perhatian secepat yang mungkin. Semalam Mak Cik lalu laluan alternatif.

“Disebabkan laluannya semak dan air bertakung, Mak Cik terjatuh ketika menunggang motosikal ke untuk ke kebun getah,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Khairul Ishak,30,berkata, titi berkenaan juga sudah beberapa kali dihanyutkan penduduk jika banjir hingga ia terpaksa diikat pada pokok kelapa sawit.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.