4 wilayah Selatan Thailand bergolak teruk

Salah satu bangunan yang terbakar dalam kejadian malam tadi

PATANI-Selatan Thailand kembali bergolak apabila siri kejadian keselamatan dilaporkan berlaku hampir serentak di beberapa lokasi di Patani, Yala, Narathiwat dan Songkhla pada malam Sabtu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Kejadian yang dilaporkan merangkumi pembakaran tayar, pembakaran kenderaan dan bangunan, kerosakan kemudahan telekomunikasi, letupan, tembakan gangguan serta peletakan objek mencurigakan.

Di Yala, beberapa kejadian dilaporkan berlaku di daerah Mueang Yala, Raman, Than To dan Bannang Sata. Antara insiden yang dilaporkan ialah pembakaran tayar di beberapa lokasi, pemasangan paku di laluan Yala ke Ban Niang, pembakaran menara telekomunikasi serta pembakaran sebuah kenderaan milik pihak pentadbiran tempatan.

Di Narathiwat pula, kejadian dilaporkan berlaku di beberapa kawasan termasuk Ra ngae, Si Sakhon, Mueang Narathiwat, Bacho dan Chanae. Insiden yang dilaporkan termasuk pembakaran tayar dan bangunan, pembakaran menara telekomunikasi serta letupan yang merosakkan tiang lampu.

Di Patani, sekitar jam 8.45 malam, laporan awal menyebut berlaku tembakan gangguan dan peletakan objek mencurigakan berhampiran persimpangan Yang Pu. Kejadian kemudian dilaporkan berlaku di kawasan 7 Eleven Bang Pu di daerah Yaring, termasuk letupan dan rompakan bersenjata.

Pembakaran tayar turut dilaporkan berlaku di Jalan 42 berhampiran pusingan U Hospital Yaring.

Sebuah kenderaan bomba milik pihak pentadbiran tempatan Bang Khao dilaporkan dibakar. Sebuah bangunan dan lori sampah milik pihak pentadbiran tempatan Wat di daerah Yarang turut dilaporkan terbakar.

Di Sai Buri, berlaku letupan dan kebakaran di pejabat Perbandaran Taluban yang baharu.
Songkhla turut mencatatkan gangguan dan ancaman keselamatan, khususnya di beberapa daerah sempadan seperti Chana, Thepha, Saba Yoi dan Na Thawi. Kawasan ini merupakan laluan penting yang menghubungkan wilayah selatan Thailand dengan kawasan lain, sekali gus menjadikan siri kejadian berkenaan meliputi empat wilayah utama.

Rentetan kejadian yang berlaku dalam tempoh yang hampir sama itu mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan di kawasan selatan Thailand, terutama apabila beberapa insiden dilaporkan menyasarkan infrastruktur awam, kemudahan telekomunikasi dan kenderaan kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, maklumat mengenai jumlah mangsa, tahap kerosakan dan punca sebenar kejadian masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.

Salah satu bangunan yang terbakar dalam kejadian malam tadi

Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan, mengelakkan perjalanan yang tidak penting dan mengikuti arahan keselamatan daripada pihak berkuasa.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.