PATANI -Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) menegaskan bahawa Malaysia tidak wajar dikaitkan dengan dakwaan memberikan sokongan atau pembiayaan kepada kumpulan pejuang Patani tanpa bukti yang kukuh dan boleh disahkan.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Presidennya, Kasturi Mahkota, PULO memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum dakwaan yang cuba mengaitkan Malaysia sebagai pihak yang menyokong atau membiayai perjuangan Patani.
Menurut PULO, sebarang dakwaan sedemikian hendaklah disokong dengan bukti yang sahih dan bukannya berdasarkan spekulasi atau andaian kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik antara Thailand dan Malaysia, selain mengganggu usaha ke arah perdamaian.
PULO turut menegaskan bahawa Malaysia selama ini memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam proses dialog damai, dan peranan tersebut dilihat sebagai usaha membantu mencari penyelesaian politik secara aman, bukannya sebagai bukti sokongan kepada mana-mana pihak.
Dalam kenyataan itu, PULO berharap semua pihak termasuk media melaporkan isu berkenaan secara bertanggungjawab serta berasaskan fakta.
“PULO tetap menyokong proses dialog dan rundingan damai yang inklusif, serta menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam usaha menuju penyelesaian yang aman, adil, menyeluruh dan berkekalan,” menurut kenyataan.
RENTAS7








Leave a Reply