ALOR SETAR -Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah memandang serius isu penternakan babi secara besar-besaran yang disifatkan boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia, khususnya sebagai sebuah negara yang dikenali sebagai hab makanan halal bertaraf antarabangsa.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berkata perkembangan tersebut menimbulkan keresahan rakyat dan mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju negara dalam sektor makanan dan pertanian.
“Penternakan babi secara besar-besaran ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat. Apakah Malaysia yang selama ini dikenali sebagai pusat rujukan industri halal dunia kini berisiko dilihat pula sebagai pengeluar makanan berasaskan babi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, negara ini perlu bebas daripada kegiatan menternak babi.
Beliau berkata, PAMM menyatakan sokongan penuh terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengusulkan agar wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi, termasuk di Kuala Langat, bagi merasai sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk setempat.
Menurutnya, titah tersebut wajar dijadikan peringatan supaya sebarang keputusan yang dibuat benar-benar berpaksikan realiti di lapangan, termasuk kesan terhadap kesihatan, pencemaran alam sekitar serta kesejahteraan sosial masyarakat.
“PAMM menyokong sepenuhnya titah baginda yang menekankan keperluan wakil rakyat memahami kesan sebenar terhadap rakyat, bukan hanya membuat keputusan dari sudut pentadbiran semata-mata.
“Justeru kami menuntut semua wakil rakyat PH yang mesra babi supaya tinggal berhampiran kandang babi seperti titah sultan, ini penting bagi memahami penderitaan sebenar rakyat,”katanya.
Beliau berkata, PAMM menyeru kerajaan agar menilai semula dasar dan kelulusan berkaitan penternakan babi secara besar-besaran secara menyeluruh dan berhemah demi menjaga masa depan negara, maruah bangsa serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dato’ Dr Mustaffa menegaskan bahawa kepentingan jangka pendek tidak wajar mengatasi prinsip, sensitiviti rakyat dan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia.
Rentas7








Leave a Reply