30 bubu naga dirampas di Perlis

KUALA PERLIS– Sebanyak 30 unit bubu naga (bubu kambang) dirampas Agensi penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di tiga lokasi hari ini.

Semua bubu itu dikesan pada kedudukan 0.79 batu nautika, 0.84 batu nautika dan 1.0 batu nautika di barat daya Kuala Sanglang pada jam 9.30 pagi hingga 10.45 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya sebelum ini menerima banyak aduan berkaitan sebelum melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia telah diaturgerakkan ke lokasi tersebut menerusi Operasi Aman / Operasi Benteng Laut 1/2020.d

“Pihak APMM berjaya mengesan pelampung botol berwarna hijau yang dipasang sebagai penanda kepada bubu oleh individu yang tidak bertanggungjawab di perairan berkenaan.

“Penggunaan bubu naga dilarang sama sekali kerana mempunyai lebih kurang 20 pintu yang panjang dan boleh mengakibatkan hidupan laut yang kecil masuk ke dalamnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sumber perikanan negara terjejas akibat penggunaan bubu naga memandangkan sifatnya yang tidak selektif dan memerangkap anak ikan komersial, selain turut memusnahkan ekosistem laut negara.

“Kejayaan dalam beberapa operasi terbaharu ini adalah hasil kerjasama antara komuniti nelayan dan Maritim Malaysia menerusi beberapa siri perjumpaan yang dilaksanakan,” katanya.

Tambahahnya, kesalahan berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Kesemua bubu naga tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.