“Saya amat terharu dengan perpaduan rakyat Malaysia”

Muhyiddin melancarkan sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara petang tadi

KUALA LUMPUR– Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa terharu dengan semangat perpaduan rakyat Malaysia sekaligus membantu kerajaan mengawal wabak COVID-19.

“Alhamdulillah, saya amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat.

“Perpaduan rakyat banyak membantu kerajaan mengurus wabak itu dengan berkesan,”katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam ini.

Muhyiddin berkata, beliau yakin bahawa negara akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu diperkukuh dan diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, persefahaman dan perpaduan yang dikecapi ketika ini merupakan pencapaian yang harus dibanggakan dan dikekalkan seluruh lapisan masyarakat.

“Saya ingin menegaskan bahawa perpaduan rakyat amat penting lebih-lebih lagi ketika negara masih berhadapan dengan krisis kesihatan awam seperti pandemik COVID-19,”katanya.

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara, satu prinsip yang menjadi asas identiti diri dan penyatuan rakyat Malaysia selama ini, petang tadi.

Bercakap mengenai perkara itu, beliau berkata, bukan mudah membentuk negara yang berbilang kaum sekiranya Rukun Negara diketepikan.

“Pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukan mudah sekiranya lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara tidak dihayati dan dijunjung seluruh masyarakat,”katanya.

Jelasnya lagi, keharmonian dan perpaduan kaum yang dikecapi ketika ini perlu terus dipertahankan setelah negara tmelalui pelbagai cabaran yang mencabar untuk sampai ke tahap ini.

“Saya yakin sebarang perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain dan menggugat keharmonian serta perpaduan boleh dielakkan sekiranya kita semua mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.