12 tahun suami lumpuh, isteri pilih setia

KUALA KETIL– “Isteri mithali” itu ungkapan paling tepat ditujukan kepada seorang wanita dari Kampung Tembak B di sini.

Ketika keluarga sedang diuji, Roslina Mohd ,32, memilih untuk setia bersama suami, Ramizi Mohd Rahim,32, yang patah tulang belakang sejak 12 tahun lalu.

Jika sebelum ini Ramizi mencari pendapatan, kini tugas itu bertukar tangan kepada Roslina yang bekerja di sebuah kantin sekolah demi menyara keluarga tercinta.

Ramizi berkata, Roslina menjaga dirinya yang kini lumpuh dengan begitu baik sekali.

“Selama 12 tahun dia (isteri) menjaga saya dengan sebaik mungkin dan seikhlas hatinya.

“Alhamdulillah, susah senang kami dapat harungi bersama-sama,”katanya.

Ramizi kini tidak lagi mampu berjalan

Menceritakan tragedi hitam yang menyebabkan dirinya lumpuh, Ramizi berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengatam pokok getah.

“Sebelum sakit, saya kerja kampung. Sewaktu memotong pokok kayu getah untuk dijual, entah macam mana batang kayu tu “tibai” belakang badan saya.

“Akibat kejadian itu, tulang belakang saya disahkan doktor patah dan hancur,”katanya.

Katanya, dia pernah menolak untuk memasang besi di bahagian belakang badan kerana doktor mengesahkan tiada jaminan akan pulih.

Masih tanggung sakit, tanggung kos ubat mahal

Walaupun sudah 12 tahun peristiwa itu berlaku, Ramizi masih lagi menanggung derita kesakitan daripada luka lama.

Roslina menunjukkan luka di bahagian belakang suaminya

Menurutnya, kos ubat-ubatan merangkumi krim, kapas, ubat cuci luka dan lain-lain perlu ditanggungnya ialah RM50 bagi seminggu.

“Anggaran kos ubat ialah RM50, agak mahal sebab ia dibeli di farmasi,”katanya.

Ramizi yang hanya terlantar di rumah menanggung masih menanggung anak bersekolah di tingkatan satu.

“Pendapatan isteri ikut hari bekerja, tak tetap. Kami dapat bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),”katanya.

Surau harap ramai bantu

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Surau Al Barakah Kampung Tembak, Ilyas Salleh mengesahkan tiga beranak itu perlu dibantu.

“Pihak surau amat mengalu-alukan sumbangan ramai bagi membantu keluarga ini. Hasil siasatan kita, bantuan JKM tidak mencukupi,”katanya.

Untuk sumbangan kepada keluarga ini boleh disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional di nombor akaun 02126-41-00010000-2 atas nama Ramizi Rahim atau hubungi mereka di talian 0195285077 atau hubungi Ilyas di talian 0163645776.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.