Unggul, Indonesia tewaskan Qatar 2-1

KUALA LUMPUR-Latihan pasukan bawah 19 tahun (B-19) di luar negara tampak membuahkan hasil apabila mula mencatatkan kemenangan bertemu pasukan handalan.

Pada aksi malam ini, Indonesia berjaya menumbangkan Qatar B-19  di Stadium SRC Mladost Cakovec dengan keputusan 2-1.

Dalam perlawanan sengit itu, Indonesia terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-12 hasil jaringan Mohamed Al- Mehairi.

Bagaimanapun anak buah Shin Tae-yong menyamakan kedudukan melalui sepakan panalti disempurnakan Brylian Aldama pada minit ke-18.

Sepakan itu dihadiahkan pengadil selepas pemain lincah, Supriadi dijatuhkan dengan keras dalam kotak panalti Qatar.

Pada minit ke 84, berlaku situasi kelam kabut depan gawang Qatar apabila penjaga gol lawan gagal mengeluarkan bola.

Kesempatan itu digunakan Beckham Nugraha untuk menyambar bola dan melakukan hantaran bagi membolehkan Supriadi menyumbat gol kedua Indonesia.

Sebelum ini, Indonesia terlebih dahulu diuji dalam kejohanan empat pasukan membabitkan pasukan B-19 Crotia, Bulgaria dan Arab Saudi.

Tiga perlawanan itu menyaksikan Indonesia tumbang pada Bulgaria 3-0, tewas 7-1 pada Crotia sebelum seri 3-3 menentang Arab Saudi.

Indonesia ketika ini dalam proses membentuk pasukan bagi Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan tahun depan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.