Ramadhan Saifullah, jelmaan semula Mat Yo

 

KUALA LUMPUR-Antara senjata utama skuad Malaysia di bawah bimbingan K. Rajagobal suatu ketika dahulu banyak bergantung kepada kemahiran menggelecek Mat Yo di dalam kawasan penalti.

Pemain sayap lincah yang nama sebenarnya Norshahrul Idlan Talaha itu sering menjadi duri dalam daging pertahanan lawan dengan keupayaannya mengawal bola hampir ke garisan gol tanpa keluar padang, sebelum melorongkan hantaran tepat untuk disudahkan gol oleh rakan sepasukan.

Setelah sekian lama penyokong tidak menyaksikan corak permainan sebegitu, pemain Kuching City FC, Ramadhan Saifullah (gambar), dilihat mempunyai sentuhan mirip dengan Mat Yo.

Kualiti yang dipamerkan bersama kelabnya turut diteruskan ketika mewakili Malaysia menentang Laos baru-baru ini. Menyarung jersi nombor 13, pemain lincah itu melakukan gerakan mirip Mat Yo dari arah kiri padang, dia menggelecek pertahanan Laos dari tepi garisan sebelum mencipta peluang hampir menghasilkan gol buat skuad negara.

Kemasukan Ramadhan ketika baki masa lebih kurang 20 minit nyata mengekalkan konsistensi serangan di bahagian sayap yang sentiasa meletihkan pemain-pemain Laos.

Pemain seperti Ramadhan wajar diberikan peluang lebih luas bersama Harimau Malaya serta digilap potensinya dengan bimbingan berterusan. Dengan bakat dan keberanian yang dimilikinya, Ramadhan berpotensi menjadi senjata pemusnah baharu dalam pasukan kebangsaan.

RENTAS7/ FOTO: Malaysia NT

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.