Najib dakwa Teresa langgar undang-undang SPR

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri menyelar tindakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa berkempen (gambar) lebih awal di Tanjung Piai Johor, pada malam tadi.

Datuk Seri Najib Razak mendakwa, tindakan itu satu kesalahan yang termaktub di bawah undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dakwanya, Teresa turut menghadiahkan satu botol minyak kelapa sawit kepada hadirin untuk diminum.

“Tak ramai orang hadir di ceramah terbuka dia walaupun dia seorang menteri.

“Kalau menteri nak nafi dia di sana untuk berkempen, kita akan keluarkan video di mana dia terang-terang memberi sebab-sebab orang Cina perlu undi PH di Pilihan Raya Kecil (PRK ) akan datang,”tulisnya di Facebook, hari ini.

Dalam Facebook rasminya itu, Najib menyertakan gambar kain rentang dan botol minyak sawit bersaiz kecil yang didakwa mempunyai kaitan dengan program itu.

Najib turut mendakwa bukti bakal didedahkan (video) itu diberikan sendiri oleh penyokong DAP yang tidak sukakan PH.

“Kereta kerajaan mana dan staf kerajaan siapa yang menteri guna untuk berkempen, kita juga ada maklumat serta bukti,”katanya.

SPR telah menetapkan PRK Tanjung Piai pada 16 November depan.

PRK Tanjung Piai akan diadakan ekoran penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik,42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham merupakan Timbalan Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi itu pada PRU14 menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 524 undi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.