UMNO naik angin dituduh Syed Saddiq

KUALA LUMPUR– Menteri Belia dan Sukan berdepan tindakan saman gara-gara menuduh UMNO mencetus huru-hara dalam program di Ulu Tiram Johor, semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar membuat laporan polis berhubung dakwaannya itu.

“Melampau kamu Syed Saddiq! kamu bergaduh sama sendiri musim pemilihan (Angkatan Bersatu Anak Muda) Armada, kamu tuduh UMNO yang cetuskan.

“Kalau berani buat laporan polis dan tulis terang-terang tuduhan kamu seperti dalam Facebook ini. Mudah kami Pemuda UMNO menyaman kamu buat laporan palsu,”katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam tulisan di Facebook mendakwa sekumpulan individu disyaki daripada Umno mencetus huru-hara dalam program Rapat Umum yang dihadirinya bersama Armada di Ulu Tiram.

Gambar Syed Saddiq melompat pagar tular di media sosial

Dalam pada itu, Syed Saddiq diingatkan Asyraf supaya tidak lupa dengan kes mahkamah membabitkan dirinya dengan Exco Pemuda Umno.

“Sudahlah kes dengan Saudara Azri Papagomo (Muhammad Azri Wan Deris) kamu tuduh beliau mencekak leher sehingga tisu terkoyak masih berjalan di mahkamah.

“Tunggulah pula saman kedua jika kamu terus menuduh Umno yang menyebabkan kamu lompat pagar malam tadi,”katanya.

Dalam hantaran Facebook berasingan, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Johor diketuai Saudara Mohd Hairi Mad Shah telah diarahkan membuat laporan polis.

Asyraf berkata, ini kerana menteri tersebut memfitnah UMNO mencetuskan huru hara dalam program Armada sehingga terpaksa melompat pagar meninggalkan ibu tercinta dan para penyokong Armada.

“Diharapkan pihak polis dapat segera menyiasat Syed Saddiq di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana memiftnah dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan komunikasi untuk sebaran maklumat jelik,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.