Islam satukan Melayu dan Cina, MACMA tampil bantu 20 keluarga

Firdaus Ang kiri menyampaikan sumbangan makanan kepada salah sebuah keluarga

KULIM– Islam bersaudara walaupun berlainan bangsa.

Mengambil semangat persaudaraan itu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) daerah Kulim membantu 19 buah keluarga Melayu dan sebuah keluarga keturunan Cina di Kupang Baling hari ini.

Pengerusi MACMA Kulim, Muhamad Hadi Firdaus Ang berkata, beliau mewakili MACMA dan orang persendirian menerima maklumat berhubung 20 buah keluarga perlu dibantu.

Menurutnya, mereka terdiri daripada golongan asnaf, pesakit terlantar, warga emas dan OKU.

“Hasil kutipan rakan-rakan MACMA dan orang persendirian, kami menyumbang setiap keluarga satu pek makanan dapur.

“Inilah rezeki yang boleh kami kongsikan. Mudah-mudahan bebanan ditanggung semua keluarga itu dapat diringankan,”katanya

Firdaus Ang berkata, beliau juga berterima kasih kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang di atas kerjasama yang diberikan.

“Pergerakan saya dibantu pihak wakil rakyat kawasan itu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar sekali,”katanya.

Firdaus menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang pesakit

Katanya, sebuah keluarga turut dikenal pasti memerlukan bantuan lanjutan.

“Insya Allah, pihak MACMA akan turun sekali lagi bagi membantu semampu yang boleh,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.