Tidak endah titah Agong, PRU15 dijangka tahun ini

KUALA LUMPUR– Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mungkin diadakan pada tahun ini sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus berusaha menumbangkan kerajaan yang sah.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil berkata, Tun Dr Mahathir semalam mencabar Bersatu memecatnya.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu juga langsung tidak mengendahkan titah Yang Dipertuan Agong di Parlimen baru-baru ini supaya tidak membawa rakyat dan negara ke kancah kemelut politik.

“Semalam juga terdapat ura-ura bahawa terdapat tiga orang ahli Parlimen Bersatu akan melompat ke kem Dr Mahathir dan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

“Ura-ura ahli Parlimen Bersatu lompat kem ini sangat kuat sehinggakan Jabatan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan surat rasmi menafikan perkara tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusia tiga bulan akan tumbang kerana kehilangan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya tiga ahli Parlimen itu benar-benar melompat kem.

“Kejatuhan kerajaan akibat ahli Parlimen melompat parti ini akan menjadi kali kedua dalam tiga bulan.

“Dan pertukaran kerajaan dalam tempoh yang singkat ini dijangka akan berlaku lagi dan tidak akan berhenti sehingga Pilihanraya Umum ke-15,”katanya.

Isham Jalil

Katanya, pekara itu berlaku ekoran kedua-dua gabungan politik iaitu PN atau PH tidak akan mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Mereka kini boleh membentuk kerajaan dengan hanya 1 atau 2 majoriti tipis sahaja dengan cara ahli Parlimen melompat parti.

“Setiap kali selepas semua jawatan Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diisi dan dilantik, pergolakan tentunya akan berlaku lagi.

“Sebab jawatan-jawatan ini adalah terhad dan tidak cukup untuk semua orang, oleh itu pasti akan ada ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan tersebut,”katanya.

Isham mendakwa, sesiapa yang dilantik menjadi Timbalan Menteri akan dijanji jawatan Menteri jika melompat parti ke parti lawan.

“Begitu juga pengerusi-pengerusi GLC yang dilantik akan ditawar menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh pihak lawan jika melompat parti.

“Yang diperlukan hanyalah seorang dua sahaja ahli Parlimen melompat untuk menjatuhkan kerajaan,”katanya.

Tambahnya, kerajaan tidak akan stabil dengan pertukaran Perdana Menteri dan anggota Kabinet berlaku setiap beberapa bulan disertai dengan pergolakan politik di antara pertukaran kerajaan tersebut.

Menurutnya, ketidakstabilan politik dan kerajaan menjejaskan ekonomi dan sosial rakyat dengan lebih teruk.

Katanya, Hal ini disebabkan ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan terutama menteri-menteri sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa dan tidak ada masa untuk mentadbir dan membuat dasar untuk rakyat dan negara.

“Sebab itu untuk meleraikan kemelut politik yang berpanjangan dan menstabilkan semula kerajaan dan politik negara, maka pilihanraya umum yang baru perlu dibuat untuk mendapatkan mandat rakyat bagi memilih ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan yang baru dan lebih stabil.

“Oleh itu, sekiranya kerajaan hilang majoriti di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain membubarkan Parlimen,”katanya.

Walaupun ramai pemimpin PH menolak untuk diadakan PRU atas alasan kos yang tinggi katanya, alasan itu sebenarnya bukanlah alasan yang kuat.

“Ini kerana, mahu atau tidak, pilihanraya umum tetap perlu diadakan dan kos ini tetap perlu dibelanjakan sama ada sekarang atau tiga tahun lagi bila mana kos ini akan meningkat berbanding sekarang.

“Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga boleh mencadangkan dan melaksanakan langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan kos ini,”katanya.

Menurut Isham, kos kerugian ekonomi negara akibat ketidakstabilan politik adalah jauh lebih tinggi apabila negara tidak ditadbir dengan betul kerana menteri-menteri sibuk berpolitik dan pelabur menjauhkan diri.

“Kos moral dan kewangan akibat “rasuah merasuah” ahli politik untuk melompat parti juga boleh dielakkan atau dikurangkan sekiranya politik lebih stabil berbanding sedia ada dengan pilihanraya dan mandat rakyat yang baru.

“Sebenarnya, PH takut kehilangan banyak kerusi jika pilihanraya diadakan semula,”katanya.

Isham berkata, sekiranya Parlimen dibubar, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tempoh pembubaran.

“Ini bermakna dalam tempoh 60 hari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu menyediakan SOP norma baru untuk pilihanraya umum semasa atau selepas Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP)

“Pilihanraya Kecil Chini pada bulan hadapan boleh dijadikan model lapangan untuk penambahbaikan SOP bagi pilihanraya yang lebih besar,”katanya

Katanya, dalam tempoh pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan Kabinet sedia ada akan menjadi kerajaan interim atau “care-taker” seperti biasa sebelum kerajaan baru dibentuk selepas pilihanraya.

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan di mana wabak COVID-19 menular semula di akhir tempoh 60 hari tersebut, maka tempoh tersebut boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat untuk menangguhkan pilihanraya.

“Namun pengisytiharan darurat ini adalah pilihan terakhir hanya jika keadaan wabak COVID-19 menjadi semakin teruk dan membahayakan rakyat dan negara untuk memanggil pilihanraya selepas tempoh 60 hari tersebut.

“Mahu tidak mahu, bersedia atau tidak, melihat keadaan politik semasa kini, semua perlu bersiap untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya umum ke-15 pada tahun ini,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.