Premis seks kebal digempur JIM

KUALA LUMPUR- Seramai 20 wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (gambar) berkata, turut ditahan tiga warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

Menurutnya, serbuan dilakukan seawal jam 1 pagi mmelibatkan sepasukan 23 Pegawai Imigresen dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan tujuh Pegawai dari Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

“Operasi dijalankan ke atas sebuah premis karaoke yang menyediakan pelayan wanita warga asing serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

“Premis tersebut dikatakan kebal kerana dikawal ketat oleh tonto yang akan menyampaikan maklumat supaya pelayan-pelayan wanita warga asing ini melarikan diri sekiranya kehadiran pihak berkuasa dapat dihidu,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, berlaku pergelutan antara penguatkuasa dengan pelanggan yang cuba melarikan diri bersama kumpulan GRO.

Beliau berkata, dalam serbuan ini, seramai 60 orang individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 23 orang telah ditahan secara keseluruhan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 20 orang pelayan wanita warga Vietnam dan dua lelaki serta seorang wanita warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Selain itu, wang tunai berjumlah RM4,350.00 turut dirampas kerana disyaki merupakan hasil perniagaan di premis tersebut,”katanya.

Khairul berkata, siasatan awal mendapati bayaran dikenakan sebanyak RM70.00 bagi tempoh masa satu jam untuk melayan pelanggan di bilik karaoke.

“Premis tersebut juga menawarkan beberapa jenis dadah kepada pelanggan bermula dari harga RM60.00 hingga RM250.00.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan pleh pegawai AADK mendapati 7 daripada pelanggan didapati positif dadah.

“Sebanyak 37 Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan, supaya hadir ke pejabat imigresen memberi keterangan bagi membantu siasatan,”katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan ini dibawa ke Pejabat Imigresen Mersing, Johor bagi tujuan dokumentasi dan siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya.

Rentas7.com/ Foto JIM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.