PAS fokus mantapkan tiga serangkai parti Melayu

KUALA LUMPUR – PAS menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang sedia terjalin termasuk sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya.

Untuk itu, PAS komited terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama Parti Melayu/Pribumi melibatkan Umno, Bersatu dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, usaha itu perlu demi memastikan kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting, justeru PAS mengambil ketetapan dalam konteks masa depan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu sebarang usaha daripada BN mahupun Bersatu yang mahu menjejaskan perpaduan ummah ditolak PAS.

Langkah itu wajar kerana usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin perlu dielakkan.

“PAS mengikuti secara dekat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional, khususnya antara UMNO dan BERSATU yang mendapat perhatian mutakhir ini.

“PAS telah mengadakan beberapa pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti rakan PAS ini, diketuai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk yang terbaharu dengan pimpinan tertinggi BERSATU yang turut dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 4 Mac 2021,” katanya.

Menurutnya, ketetapan lain yang digagaskan ialah meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama.

“Mempertegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahankan Perikatan Nasional di semua peringkat.

“PAS dalam masa sama menekankan semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.