Kapal purba tertanam di Kuala Ketil

KUALA-KETIL– Sebuah kapal purba berisi “logam” dipercayai tertanam dalam dasar paya yang terletak di belakang sebuah rumah penduduk di sini.

Penduduk, Mohd Zukhi Ghazali,54, berkata, kawasan sekitar termasuk dibelakang rumahnya satu ketika dahulu dikatakan laluan kapal-kapal besar.

“Laluan sungai telah ditimbus bagi tujuan pembangunan dan penempatan penduduk manakala yang tidak diganggu menjadi kolam takungan serta kawasan paya,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Kawasan inilah kapal itu dikatakan tertanam

Katanya, kedudukan Sungai Ketil juga berubah kerana projek tebatan banjir pada zaman Menteri Besar Kedah ke-8 iaitu Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah.

“Sungai asal yang masih boleh dilihat
terletak dalam Sekolah Rendah Islam Al Naim, Kuala Ketil.

“Sekarang ia hanyalah kolam takungan selepas laluan sungai asal dipisahkan dengan tebatan banjir,”katanya.

Katanya, kisah itu bukan lagi asing dalam kalangan penduduk terdahulu, bahkan ia diceritakan secara turun temurun.

“Kisah kapal tenggelam ini banyak diceritakan oleh orang-orang lama termasuk datuk dan moyang saya iaitu , Allahyarham Hj Hassan Ali serta Hj Ali.

“Kapal berkenaan dikatakan membawa “logam” namun tenggelam selepas berlanggar dengan satu objek,”katanya.

Mohd Zukhi berkata, lokasi tertanam kapal berkenaan kini ialah kawasan paya yang ditumbuhi berlukar.

“Pekarangan rumah saya sendiri pun sebelum ini kawasan paya. Pada tahun 70 an arwah ayah (Hj Ghazali Hassan) mengambil keputusan membina rumah di sini.

“Rumah asal kami pada waktu itu dibina paling tinggi berbanding rumah lain sebab mahu mengelakkan banjir.

“Setiap kali hujan lebat kawasan rumah kami cepat ditenggelami banjir. Waktu itu juga ular senduk, ular sawa juga terlalu banyak di kawasan ini. Tapi kini tidak lagi,”katanya.

Mohd Zukhi berkata, baru-baru ini juga dia ditemui oleh individu yang mendakwa mempunyai kelebihan tertentu.

“Individu itu juga menunjukkan lokasi yang sama (kedudukan kapal).

“10 tahun yang lepas, dua individu berbeza termasuk seorang ustaz menunjukkan dan mengatakan perkara sama,”katanya.

Jelas Mohd Zukhi, dia tidak menolak kebenaran cerita berkenaan malah mengalu-alukan kehadiran pelbagai pihak untuk datang membuat kajian.

Tetapi tegasnya, sebarang unsur khurafat bagi mencari kesahihan bukti berkenaan kapal itu tidak dibenarkan sama sekali.

Menguatkan lagi kisah Mohd Zukhi ialah Sungai Ketil yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan berkenaan pernah menjadi kawasan pelabuhan kapal.

Bahkan penduduk mengatakan di pekan lama Kuala Ketil pernah mempunyai pasar di atas air.

Ikuti sambungannya pada siri akan datang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.