“Tolong perati siapa balik kampung sambut raya”

Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Bantu landaikan lekuk jangkitan di negeri ini dengan melaporkan kepada polis jika ada ahli keluarga atau jiran merentas negeri balik ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha.

Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, rakyat Kedah wajib membantu diri sendiri dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Menurutnya, sikap sambil lewa walaupun dengan keluarga atau jiran sendiri boleh menjejaskan usaha kerajaan mengawal sepenuhnya penularan wabak COVID-19.

“Jika ada yang balik ke kampung untuk sambut Raya Aidiladha, laporkan saja kepada polis. Tolong perati (tengok) siapa balik kampung nak beraya.

“Masing-masing perlu ada peranan membantu diri, negeri dan negara. Jika semua dengan sikap ‘tidak mengapa’ maka jangan tanya mengapa kes masih tinggi,”katanya hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu walaupun dilihat agak tidak berhati perut, namun mereka yang tidak patuh dengan arahan pihak berkuasa mencegah wabak adalah lebih tidak berhati perut.

“Semua kena faham, kita dalam situasi wabak. Kerajaan, pihak kesihatan termasuklah mereka yang berautoriti dalam Hal Ehwal Agama Islam selari mengatakan wabak ini berbahaya.

“Jadi tidak patut kita mengambil mudah. Apa yang berlaku salah satu ujian Allah. Berdoa dan berusaha, pasti Allah bantu kita,”katanya.

Kedah terus mencatatkan lonjakan kes yang membimbangkan walaupun 696 kes harian dilaporkan pada hari ini berbanding 701 kes positif COVID-19 semalam.

TAMAT

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.