Tekad terjun selepas kantoi seludup minyak

Anggota PPM menunjukkan petrol dirampas

SEMPORNA– Dua lelaki tekad terjun dari bot selepas cubaan menyeludup petrol ke Filipina digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM), di Laut Bohey Dulang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohamad Ismail berkata, bot dinaiki dua lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh PPM yang sedang melakukan rondaan pada jam 4 pagi.

Menurutnya, dalam serbuan itu, tong gas berserta pam bot turut dirampas.

“Apabila kehadiran Polis dikesan, dua lelaki dewasa yang berada di atas bot telah bertindak terjun daripada bot dan melarikan diri ke kawasan cetek Pulau Bohey Dulang Semporna.

“Pemeriksaan ke atas bot menjumpai beberapa Jerikin pelbagai saiz berisi minyak petrol dan satu unit tong gas,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, minyak petrol dan tong gas berserta pam bot tersebut turut dirampas.

“Rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk di serahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,280.00. Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.