Tanah Merah, KELANTAN – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kol (K) Dato’ Hj. Ahmad Faizal telah mengadakan lawatan tapak ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah, Kelantan bagi melihat sendiri usaha memulihkan operasi LRA berkenaan yang terpaksa ditutup akibat situasi luar biasa tanah gelongsor yang menyebabkan runtuhan cerun sejak 28 November 2024 lalu.
Berdasarkan laporan yang diterima dan tinjauan fizikal yang dilakukan SPAN, situasi di tapak adalah amat serius di mana situasi runtuhan cerun bukan hanya menyebabkan kerosakan kepada paip air mentah dan paip air terawat malah lebih kritikal lagi adalah ianya turut berpotensi tinggi menyebabkan kerosakan pada bangunan utama disebabkan pergerakan tanah yang merebak dan terus berlaku dan semakin hampir dengan bangunan berkenaan.
Tindakan segera SPAN dalam memastikan bekalan air bersih terus diterima sekitar 13,000 pengguna yang terjejas adalah dengan menggerakkan bantuan 15 lori tangki agihan daripada lapan rakan operator air di seluruh semenanjung Malaysia mulai 29 November 2024 lalu dan operasi berkenaan akan diteruskan sehingga bekalan dapat dipulihkan dalam jangkaan tempoh masa 14 hari daripada tarikh hari ini.
Turut ditempatkan adalah 26 tangki statik di lokasi strategik.
Turut membantu dalam kajian kestabilan cerun adalah JKR yang turut bertindak sebagai pihak yang bakal melaksanakan kerja pembaikan cerun.
Turut menghulur bantuan adalah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan yang menyediakan bantuan lori tangki berkapasiti 5000 liter untuk kegunaan bekalan air untuk Hospital Tanah Merah dan persatuan berkenaan turut menawarkan bantuan dua (2) loji rawatan air mudah alih (Mobile Plant) berkapasiti pengeluaran 800 liter setiap jam sekiranya sesuai dengan sumber air mentah dan lokasi yang ditentukan AKSB.
AKSB sedang bertungkus lumus degan pelbagai usaha untuk membaiki pulih paip yang rosak dan bekerja secara 24 jam walaupun keadaan di tapak amat berbahaya demi memastikan bekalan air dapat dipulihkan sesegera mungkin.
Walau bagaimanapun, durasi kerja pembaikan adalah bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan cerun berkenaan. AKSB melalui pelan jangka panjangnya sedang mengusahakan pembinaan loji rawatan air mudah alih yang berupaya memproses sehingga 3 juta liter air sehari dan pembinaan telaga tiub berkapasiti 2 juta liter air sehari untuk kegunaan pengguna.
SPAN akan memantau rapat situasi pemulihan bekalan di kesemua negeri yang terjejas akibat bencana banjir dan pada masa yang sama memohon kerjasama semua pihak yang terjejas untuk mendapatkan maklumat terkini di saluran-saluran rasmi operator dan melaporkan sebarang situasi ke aduan berkaitan perkhidmatan air ke saluran WhatsApp ke nombor 013 – 388 5000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.
RENTAS7








Leave a Reply