ALOR SETAR-Penghinaan seorang kiai terhadap penjual minuman teh di Indonesia sehingga viral wajar diambil sebagai satu bentuk pengajaran kepada semua.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu PAMM ( PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, kesedaran supaya setiap manusia menghormati antara satu sama lain amat penting supaya kejadian seperti di Indonesia itu tidak berulang.
“Sesiapa saja termasuk ustaz-ustaz, janganlah menghina orang lain seperti yang berlalu di Indonesia.
“Saya sedih dengan penghinaan itu kerana saya juga orang kampung. Cubalah yang dihina itu ayah kita, saudara mara atau orang kampung kita sendiri. Apakah tidak sedih? Ya pastinya kita semua merasai perkara sama seperti mana penjual teh itu,”katanya.
Beliau berkata, perkongsian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kejadian berhubung itu juga sewajarnya dapat diambil sebagai pengajaran oleh semua khususnya rakyat Malaysia.
“Saya juga terharu dengan apa disampaikan oleh PMX pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) semalam. Inilah jiwa pemimpin kita yang terkesan dengan penghinaan berlaku. Kesedaran seperti ini sangat penting diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kadang-kadang ada juga segelintir rakyat kita sendiri melakukan fitnah, tohmahan dan penghinaan sesama sendiri termasuk mengecilkan kemampuan orang lain tanpa mereka sedar.
“Perkara inilah patut semua kita jauhkan. Marilah kita semua memberikan contoh terbaik antara satu sama lain supaya budaya hormat menghormati terus subur sampai generasi akan datang,”katanya.
Beliau berkata, akhlak umat Islam Malaysia yang terkenal dengan sikap berlemah lembut, sopan santun dan tegas pada tempatnya dapat menjadi contoh kepada bangsa dan negara asing.
RENTAS7
Leave a Reply