Doktor ini dedah situasi sebenar Influenza A di Malaysia….

KUALA LUMPUR- Wabak Influenza A yang sedang menular di negara ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Pastinya paling tidak senang duduk adalah ibu bapa yang bimbang dengan keselamatan nyawa anak masing-masing.

Peningkatan jumlah murid yang dijangkiti influenza seperti dilaporkan media menunjukkan virus berkenaan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Laporan media berhubung jumlah murid dan pelajar yang dijangkiti virus tersebut
Murid dan guru di utara tanah air turut dijangkiti
Jumlah pelajar dijangkiti Influenza A dilaporkan meningkat

Berdasarkan kenyataan akhbar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 Januari lalu, trend aktiviti influenza di negara ini termasuk kemasukan pesakit ke wad akibat virus berkenaan menunjukkan peningkatan.

“Analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) daripada lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember 2019.

“Peningkatan ini dikesan di negeri Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu serta Sarawak. Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan, namun kejadian-kejadian wabak tersebut adalah dalam keadaan terkawal.

“Survelan influenza makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran,” – lapor KKM dalam laporan berkenaan.

Serangan influenza kali ini diakui terburuk oleh seorang doktor perubatan.

Melalui tulisan di Facebook, Dr. Rosli Abd Jalil berkongsi situasi sedang berlaku di negara ini termasuk langkah-langkah pencegahan diri daripada penyakit tersebut.

Ikuti coretan beliau di bawah:

Wabak influenza terburuk yang pernah saya lalui…

(Catatan seorang doktor ini hanya untuk kesedaran masyarakat dan bukan untuk menimbulkan suasana panik di kalangan masyarakat…)

Lebih 20 tahun aku telah berkhidmat dalam bidang perubatan dan pernah bertugas lebih 15 tahun di unit kecemasan di salah sebuah hospital di Selatan tanah air dan pernah melalui detik cemas ketika negara dilanda SARS tetapi aku dapati serangan Influenza A kali ini adalah yang paling buruk!

Malam tadi ketika aku bertugas di klinik, seorang ibu berlari membawa masuk anaknya berumur setahun yang sedang sawan dengan suhu badan 39.9°C
dan ujian nasal swab positif Influenza A!

Seorang bayi umur 8 bulan dan tidak pernah keluar rumah juga positif dan apabila disiasat bapanya juga demam dan positif Influenza A, beliau bertugas sebagai pegawai imigresen di selatan tanah air.

Pagi tadi tiga adik-beradik demam panas, batuk dan selsema disahkan positif Influenza A.

Serangan influenza A kali ini diakui terburuk

Tersentuh hati apabila melihat anak-anak kecil, bayi merengek dalam keadaan suhu yang sangat panas dan menangis akibat serangan virus ini.

Itu adalah sebahagian dari kes-kes yang aku lihat setiap hari.

Pesakit terlalu ramai sehinggakan kami terpaksa melanjutkan operasi klinik sehingga jam 12 malam! (walau waktu sebenar adalah jam 10 malam).

Dalam sehari diantara 10 hingga 15 orang positif ujian ini.

Rosli telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam bidang perubatan

Segala rekod dan maklumat pesakit kami akan laporkan atau kami notifikasikan ke Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melalui email.

Tanda-tanda jangkitan Influenza ini senang untuk dikenali.

Diantaranya demam dengan suhu badan yang keterlaluan iaitu melebihi 39°C.
Adakalanya ubat demam pun hanya menurunkan sedikit sahaja suhu badan pesakit!

Pesakit kelihatan resah (irritable)
dan merengek (untuk anak-anak), kebiasaanya batuk dan selsema.
Ujian nasal swab rapid test influenza menggunakan test kit buatan Jepun ini banyak membantu.

Kebanyakan pesakit yang datang untuk ujian di klinik saya adalah pesakit yang telah pergi ke hospital atau klinik lain dan telah menjalani ujian darah untuk demam denggi sahaja dan ujian rapid test influenza tidak dijalankan dan pesakit masih lagi demam panas!

Rawatan segera sekiranya positif Influenza A dapat menyelamatkan nyawa!

Rawatan yang terbaik apabila seorang telah disahkan influenza positif adalah ubat antiviral, tetapi malangnya ubat ini telah kehabisan di banyak tempat!

Apa yang membimbangkan Doktor adalah ubat antivirus ini telah tiada ketika jangkitan sedang memuncak!

Apa yang patut kita lakukan sekarang untuk menghalang wabak ini dari terus menular?

Nasihat saya :-

1. Jauhi tempat yang padat dengan orang ramai termasuk, pasaraya, restoran makanan segera termasuk juga hospital
atau klinik sekiranya tidak perlu kita ke situ!

2. Sentiasa pakai topeng muka sekiranya terpaksa berurusan di luar. (Boleh gunakan topeng muka 3 ply surgical mask atau yang terbaik adalah N95).

3. Dapatkan Vaksin segera (Sekiranya stok vaksin yang sudah kehabisan ini sampai).

4. Cutikan sahaja anak apabila mengetahui rakan sekelas ada dijangkiti influenza, (Buat masa sekarang kesihatan dan nyawa adalah lebih penting dari pelajaran!)

5. Kerajaan perlu mengaktifkan segera unit bencana seperti mana ia diaktifkan ketika SARS dahulu, scan suhu semua individu di tempat-tempat strategik seperti di sekolah-sekolah dan sebagainya.

Bertindak segera sebelum terlambat!!

Dr. Rosli Abd Jalil
(Bio-Sucinas).

Rentas7.com/ Foto: FB  Rosli Abd Jalil

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.