“Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia”

Asri memohon maaf kepada semua

KUALA LUMPURMohd Asri Hamid,42, atau Asri Janggut kesal dengan kenyataan kontroversinya terhadap polis apabila menyebut anggota pasukan itu malas solat.

Tampil dalam satu rakaman video, Asri janggut memohon maaf kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya Mohd Asri Bin Hamid dengan ini, dengan sepenuh hati, dengan rendah diri, dengan sehina-hinanya memohon maaf kepada seluruh anggota PDRM dan ATM di atas kesilapan saya, kejahilan saya dan kebodohan saya.

“Kerana keceluparan mulut saya membuat satu kenyataan yang mengatakan kebanyakan polis malas solat. Saya mohon jutaan maaf kerana saya pun tidak jangka boleh bercakap macam tu,” katanya hari ini.

Asri berkata, dia tidak berniat mengguris hati pihak ATM dan PDRM yang disifatkannya sebagai permata negara.

“Saya lagi sekali demi ALLAH memohon maaf kerana ALLAH Taala, memohon maaf kerana ALLAH Taala. Maafkanlah di atas segala kesilapan saya.

“Saya akui kebodohan saya, mengakui kesilapan saya dan reda dengan apa yang berlaku. Lagi sekali saya nak mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutama PDRM,” katanya.

Asri sebelum ini membuat pendedahan judi di kawasan Sungai Buloh melalui tiga siaran langsung di Facebook.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.