“Lukakan hati YDPA, bererti lukakan hati rakyat”

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang Dipertuan Agong (YDPA), Al Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah jelas menghina pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Mustaffa Idrus berkata, kenyataan YDPA yang melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat pada 26 Julai lalu menggambarkan kerajaan hari ini menderhaka kepada Seri Paduka Baginda.

“PUTRA melahirkan rasa dukacita dan sangat sedih dengan tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat dengan membelakangi YDPA.

“Ini sejarah gelap bagi masa depan negara. Melukakan hati YDPA bererti melukakan hati rakyat negara ini,”katanya kepada pemberita hari ini.

Dakwanya, pembatalan Ordinan Darurat tanpa dibawa kepada YDPA menggambarkan kerajaan menyalah guna kuasa yang ada.

“Amalan ini jika dibiarkan akan merosakkan sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Mereka ini telah menunjukkan contoh teladan tidak baik kepada generasi akan datang.

“Parlimen perlu dibubarkan bagi tangani krisis Perlembagaan. Negara perlu ditunjangi pemimpin yang bersih, tidak korup dan tidak menderhaka kepada YDPA,”katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, YDPA menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkanankan Baginda.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan Rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenankan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, YDPA menegaskan kenyataan Menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu juga tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, YDPA menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan sidang Parlimen bermula Isnin lalu.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.