Dua nelayan hilang tiga hari di laut

Dua nelayan ini akhirnya ditemui

LUMUT– Dua nelayan “hilang” selama tiga hariĀ  di perairan Perak di Barat Daya Kuala Kurau.

Mangsa, Lim Ah Che Ong,51, dan Teong Leng Huat,52, bagaimanapun ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Mereka diselamatkan melalui Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di sektor Cari Alamat yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua nelayan itu gagal pulang apabila bot mereka kehabisan bekalan minyak dan dihanyutkan.

Menurutnya, hasil laporan diterima pada 8 Ogos lalu, APMM menggerakkan operasi SAR dengan mengatur gerak aset Kapal Maritim (KM) Tugau.

“Sebuah bot Kilat 30 dari Zon Maritim Kuala Kurau telah diatur gerak ke lokasi dengan membawa bekalan minyak dan telah menemui dua nelayan yang dilaporkan hilang di posisi berkenaan,”katanya.

Tambahnya, bot-bot nelayan tempatan turut membantu dalam misi pencarian.

Beliau berkata, operasi SAR selama tiga hari itu meliputi kawasan pencarian seluas 130 batu nautika persegi.

“Kedua- dua nelayan terbabit ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan tempatan dari Pantai Remis yang dikhuatiri hilang di perairan Perak kira – kira 15.5 batu nautika Barat Daya Kuala Kurau,”katanya.

Beliau berkata, mangsa dan bot diiring ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar Perak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.