Raja-raja Melayu akan bersidang, perhalusi cadangan PM

KUALA LUMPUR– Setiap cadangan yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan dimuktamadkan melalui Persidangan Raja-raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadhil Shamsudin berkata, YDPA Al Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenaan menerima menghadap Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz semalam.

Menurutnya, sesi mengadap tersebut dipohon Tan Sri Muhyiddin susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh beliau.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al Sultan Abdulllah telah berkenaan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaanya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdulllah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19, malah Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran perkembangan terkini ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Al Sultan Abdulllah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukan oleh Muhyiddin Yassin.

“Sehubungan dengan itu, Al Sultan Abdulllah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kerasahan serta tidak menggugatkan kenteteraman negara yang kita cintai selama ini,”katanya.

Dalam masa sama katanya, Al Sultan Abdulllah turut memohon rakyat menjaga diri susulan peningkatan kes COVID-19 dan kewujudan berapa kluster baru.

Menurutnya, Al Sultan Abdulllah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdipslin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID- 19 demi keselamatan diri dan masyarakat.

“Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dengan akhiri dengan segera,”katanya.

Rentas7/ Foto: Istana Negara

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.