Ketum RM 72,000 dirampas

40 bungkus daun ketum diseludup menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran

KUALA PERLIS– Cubaan menyeludup keluar 400 kilogram daun ketum bernilai RM72,000 dari Perlis ke Thailand digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri (APMM) semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, sebanyak 40 bungkusan daun ketum dirampas APMM di kedudukan 0.1 batu nautika, barat pantai Kuala Perlis pada jam 6.30 pagi.

“Hasil maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang bersiap sedia melakukan serbuan dan tangkapan telah mengesan suspek yang sedang mengemudi bot fiber tanpa nombor pendaftaran menuju ke arah sempadan Thailand sekitar jam 5.00 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan menuju ke daratan berhampiran dan terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan dengan berenang melarikan diri ke hutan bakau berlumpur yang berhampiran,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, faktor geografi perairan yang cetek dan berlumpur menyukarkan bot Maritim untuk mengakses di kawasan paya bakau sekitar.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan telah menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mencurigakan dan disyaki daun ketum dengan anggaran nilai RM72 ribu yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Selain daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM78 ribu,”katanya.

Beliau berkata, semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketum kini diseludup menggunakan bot fiber enjin sangkut bergalah oleh penyeludup.

Menurutnya, melalui modus operandi itu, penyeludup akan membawa muatan daun ketum dalam jumlah yang sedikit untuk dipindah muat ke dalam bot-bot nelayan Thailand di tengah laut.

“Taktik itu digunakan berikutan kegagalan beberapa cubaan menyeludup keluar daun ketum dalam skala yang besar sebelum ini.

“Taktik membawa daun ketum dalam jumlah yang sedikit juga adalah Modus Operandi baharu yang digunakan oleh penyeludup bagi mudah melarikan diri apabila ditangkap serta mengelak kerugian yang besar sekiranya tertangkap,”katanya.

Menurutnya, penyeludupan kini kerap berlaku di laut berikutan kegagalan mereka melepasi sekatan jalan di darat sebelum menggunakan jalan laut untuk dibawa ke negara jiran.

Katanya, permintaan daun ketum yang tinggi di negara jiran menyebabkan penyeludup semakin berani malakukan aktiviti penyeludupan tersebut.

“Laluan laut di Kuala Perlis terus menjadi tumpuan penyeludup berikutan jarak perairan dari Muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand yang dekat sekitar 1.3 batu nautika dengan perjalanan yang hanya mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke Thailand.

“Penyeludup daun ketum mengambil peluang keadaan muka bumi pantai Kuala Perlis yang berpaya serta berlumpur sebagai jalan mereka untuk meloloskan diri daripada ditangkap,”katanya.

Rentas7/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.