Malaysia bakal terima vaksin antara Januari-Mac tahun depan, rancakkan semula ekonomi

Gambar hiasan

PUTRAJAYA– Bekalan vaksin bagi negara ini dijangka diperolehi pada suku pertama 2021.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan bersama berkata, keutamaan bakal diberikan kepada para petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

Menurutnya kenyataan, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) pertama kali secara bersama semalam.

Katanya, ia untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 kepada negara dapat diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna bagi melindungi rakyat Malaysia daripada COVID-19 seterusya membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

“Objektif penubuhan JKJAV adalah untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh segera.

“MOSTI dan KKM akan bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin COVID-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan,”kata kenyataan itu hari ini.

MOSTI dan KKM berkata, dalam mesyuarat tersebut, beberapa jawatankuasa kecil turut dibentuk merentasi pelbagai Kementerian dan agensi bagi melaksanakan tugasnya dalam pemilihan, pendaftaran, kelulusan, pengimportan, penstoran, logistik, pengangkutan, pengagihan dan pemberian vaksin.

Empat jawatankuasa kecil tersebut ialah Polisi Vaksinasi Kebangsaan dan Pemilihan Calon Vaksin Yang Sesuai, Pendaftaran Logistik dan Pembangunan Vaksin, Kewangan dan Perolehan, serta Komunikasi.

Kenyataan berkata, setakat ini, KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.

“Selain itu, Kerajaan juga sedang memuktamadkan rundingan dengan
pihak COVAX yang mempunyai sembilan calon vaksin di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI).

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung COVID-19 Kementerian Kewangan Malaysia,”katanya.

Tambah kenyataan, kerajaan komited untuk mendapatkan keputusan segera bagi perolehan vaksin COVID-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalammendapatkan bekalan vaksin yang telah diluluskan dan terbukti selamat
kelak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.