Presiden Iran hubungi Muhyiddin, Malaysia sedia bantu hadapi COVID-19

Muhyiddin sedang berbual melalui panggilan talefon dengan Hassan Rouhani

KUALA LUMPUR- Malaysia menyatakan komitmen membantu Iran memerangi penularan wabak COVID-19 di negara itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sedia bergabung dan bekerjasama dengan Iran serta memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam usaha memerangi COVID-19.

“Petang tadi saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Hassan Rouhani, Presiden Iran.

“Kami membincangkan pelbagai perkara mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara termasuk berkongsi pengalaman bagaimana mendepani cabaran berdepan COVID-19,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau menzahirkan rasa simpati dan solidariti Malaysia kepada Iran atas situasi terkini COVID-19 di negara itu termasuk tragedi gempa bumi menimpa Iran pada awal Mei lalu.

Beliau berkata, mereka turut berbincang bagaimana untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan tinggi.

“Kami juga sependapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengenal pasti dan mengembangkan potensi kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Kami akhiri perbualan dengan saling mengundang untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing selepas pandemik COVID-19 berakhir,”katanya.

Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Iran ialah sebanyak 113,000 kes dan merekodkan 6,783 kes kematian.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.