31 asnaf dirai sempena Aidilfitri

Seorang penerima kiri dikunjungi wakil penyumbang

ALOR SETAR- Seramai 31 asnaf sekitar DUN Kupang menerima sumbangan hamper barangan keperluan dan tunai RM400 daripada Syarikat al-ikhsan dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di Masjid Ehsaniah,Kupang Baling, baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kebajikan Masjid Ehsaniah Kupang, Abu Bakar Che Ngah berkata, kesemua penerima mendapat sumbangan melalui program Iltizam dianjurkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Menurutnya, program dianjurkan mempunyai kelainan berbanding aktiviti lain pernah dianjurkan di masjid tersebut.

Seorang penerima kiri dikunjungi wakil penyumbang

“Ini program pertama dianjurkan dalam Ramadan tahun ini. Cumanya ada sedikit kelainan, sumbangan-sumbangan lepas kita beri dalam bentuk barangan harian dan jangka waktu yang singkat.

“Tetapi program kali ini bermula sebelum solat Asar, berbuka puasa bersama, kemudian solat Maghrib berjemaah dan berakhir dengan jamuan. Dalam program ini 31 asnaf menerima sumbangan yang agak lumayan iaitu tunai RM400 beserta barangan dapur dan kuih muih,”katanya.

Tambahnya, melalui program berkenaan turut dianjurkan slot motivasi yang disampaikan pihak syarikat.

“Di samping itu, sembilan orang daripada jumlah keseluruhan penerima diziarahi dan menerima sumbangan di rumah. Mereka ini terdiri daripada pesakit dan uzur,”katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.